Wednesday, September 1, 2010

Fenomena Bahasa SMS

SMS merupakan salah satu fenomena bahasa atau trend pada masa kini yang berleluasa dalam kalangan pengguna telefon bimbit. SMS adalah singkatan kepada Short Messaging Service atau Khidmat Pesanan Ringkas. Penggunaan sistem komunikasi SMS yang pertama adalah pada 3 Disember 1992 oleh Neil Papworth seorang juruteknik dari Norway yang menghantar mesej Selamat Hari Natal kepada rakannya Richard Jarvis yang berkerja di syarikat perkhidmatan GSM Vodafone di Inggeris.

Penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit pada zaman sekarang telah merebak kepada semua komunikasi lain seperti emel, penulisan blog dan forum komuniti termasuk laman sosial seperti Facebook, MySpace dan lain-lain.

Bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu kerana terdapat penggunaan bahasa singkatan, bahasa rojak, dan sebagainya yang menyebabkan hilangnya ketulenan bahasa tersebut. Hal ini amat menyedihkan kerana selama lebih 10 tahun kita diajar untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul tetapi akhirnya kita mengabaikan penggunaan bahasa tersebut.

Contoh bahasa SMS:

“akum, bley x sesape plz bgtau cm ner nk siap kn keje nie..? idea plz..”


Ciri-ciri Bahasa SMS

Masalah bahasa ringkas dalam dunia SMS seperti 'mn ko nk pegi?' atau ayat sebenarnya 'ke mana kau mahu pergi?' bukanlah isu baru namun ia belum mendapat perhatian ramai. Secara tidak langsung kita juga menggunakan bahasa SMS ini setiap hari dengan alasan untuk menjimatkan masa, ruang dan sebagainya.

Penyingkatan kata yang digunakan ini adalah termasuk dalam ciri-ciri bahasa SMS. Keterbatasan karakter yang dapat digunakan di dalam SMS menyebabkan pengguna SMS cenderung untuk melakukan penyingkatan kata.

Namun demikian, penyingkatan kata pada SMS boleh menyebabkan kesulitan bagi penerima pesanan untuk menterjemahkan informasi. Penyingkatan yang tujuannya untuk menghematkan kata telah menyulitkan penerima. Ini menyebabkan penerima memerlukan waktu dan tenaga yang lebih besar dalam memahami isi pesanan dibandingkan dengan pesanan yang tidak menggunakan singkatan.


                          

Kategori-kategori Bahasa SMS

Bahasa SMS dapat dikategorikan kepada sepuluh jenis singkatan, iaitu:

•Singkatan yang pertama adalah singkatan lazim. Contohnya, sg.(sungai), jln(jalan) dan kg.(kampung).

•Singkatan yang kedua adalah singkatan pengguguran vokal dalam perkataan. Contohnya, mkn(makan), skolah(sekolah) dan bju(baju).

•Singkatan yang ketiga adalah singkatan akronim. Contohnya, MAS(Malaysia Airline Systems) dan ADUN(Ahli Dewan Undangan Negeri).

•Singkatan yang keempat adalah singkatan gabungan suku kata. Contohnya, balora(balai orang ramai).

•Singkatan yang kelima adalah singkatan kata ganda. Contohnya, kdg2(kadang-kadang) dan kupu2(kupu-kupu).

•Singkatan yang keenam adalah singkatan kolokial. Contohnya, amek(ambil) dan camne(macam mana).

•Singkatan yang ketujuh adalah singkatan yang melampau. Contohnya, giler(gila), namer(nama) dan dier(dia).

•Singkatan yang kelapan adalah singkatan bahasa asing yang ‘diMelayukan’. Contohnya, lebiu(love you), opis(office) dan babai(bye-bye).

•Singkatan yang kesembilan adalah singkatan yang membawa makna baru. Lazimnya perkataan ini digunakan oleh para remaja dan kanak-kanak. Contohya, ‘boring giler’ dan ‘terror giler’.

•Singkatan yang terakhir sekali adalah singkatan kod. Contohnya, mencium(muahhh), berfikir(hmmm), ketawa(haha/hehe/kehkeh), gembira([:-)], sedih([:-(]) dan bibir terkunci([:-X]).

Sebab Penggunaan SMS

Khidmat pesanan ringkas atau SMS (short messaging service) merupakan satu perkhidmatan yang popular dalam kalangan pengguna telefon bimbit di negara kita. Majoriti masyarakat beranggapan bahawa SMS merupakan cara paling mudah, selesa, cepat dan interaktif untuk berhubung dengan seseorang.

Pengguna telefon bimbit gemar menggunakan singkatan SMS kerana singkatan SMS membolehkan pengirim menyampaikan maklumat kepada penerima SMS secara cepat,ringkas dan padat.

SMS juga dapat menjimatkan kredit nilai tambah pengguna. Selain tarif yang dikenakan untuk pengiriman SMS adalah murah, penggunaan SMS juga amat mudah. SMS digunakan dalam pelbagai situasi supaya dapat melancarkan segala urusan kehidupan harian seseorang.


Faktor-faktor yang Menyebabkan Bahasa SMS Sebagai Pencemaran Bahasa



Sistem pesanan ringkas (SMS) merupakan alat penghubung yang menggunakan simbol, kod dan perkataan singkatan yang dikatakan telah merosakkan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana bahasa SMS bukan sahaja menggunakan perkataan singkatan tetapi ia juga mempunyai unsur-unsur campuran antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa daerah atau dialek. Hal ini akan mengelirukan penerima mesej kerana sukar membezakan ragam bahasa rasmi dengan ragam bahasa basahan.

Di samping itu, faktor-faktor lain yang menyebabkan bahasa SMS sebagai pencemaran bahasa adalah media massa yang memaparkan iklan SMS dengan menggunakan perkataan yang singkat, kod, simbol serta huruf dan angka juga turut digunakan seperti “U” bermaksud awak, “4”bermaksud untuk, “I” bermaksud saya dan sebagainya.

Penggunaan bahasa SMS dikatakan pencemaran bahasa kerana kita tidak dapat menyampaikan maksud yang tepat dan difahami oleh semua orang dan seterusnya akan menyebabkan penerima mesej salah faham dengan maksud yang hendak disampaikan. Sebagai contoh, perkataan singkatan “btl” boleh bermaksud “betul” ataupun “batal”.

Golongan yang Terlibat dalam Penggunaan SMS



•REMAJA
Selaras dengan kemodenan teknologi kini yang mempunyai pelbagai variasi, golongan remaja adalah antara yang paling mudah terpengaruh. Mereka seringkali menggunakan ayat singkatan dalam penggunaan SMS.

•PELAJAR SEKOLAH
Pelajar sekolah juga tidak terlepas dalam penggunaan SMS. Sebelum teknologi ini berkembang maju, segala urusan persekolahan amat susah untuk dilakukan bersama rakan-rakan. Namun kini, urusan dapat dijalankan dengan mudah. Kini penggunaan SMS dapat menjimatkan masa dan wang bagi para pelajar sekolah.

•PELAJAR INSTITUT PENGAJIAN TINGGI(IPT)
Pelajar institut pengajian tinggi juga mengunakan sistem SMS. Segala urusan berkaitan dengan tugasan yang diberikan dapat disiapkan dengan lebih mudah. Ini kerana para pelajar dapat berbincang hanya melalui SMS. Seperti yang kita sedia maklum, pelajar institusi pengajian tinggi mempunyai banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Dengan adanya sistem ini, segala perbincangan dapat disiapkan tanpa perlu berkumpul bersama.

Pandangan Pengguna Terhadap Bahasa SMS

Isu berkaitan bahasa SMS (short messaging service) menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa, sama ada dalam media elektronik mahupun media cetak. Singkatan perkataan dalam bahasa SMS ini akan mendorong kepada penyalahgunaan perkataan dalam penulisan esei, rencana dan sebagainya kerana perkara itu telah menjadi kebiasaan. Walaubagaimanapun, terdapat banyak tanggapan dan reaksi terhadap bahasa SMS ini.

Antara reaksi dan pandangan pengguna terhadap bahasa SMS ialah dapat menjimatkan masa mereka. Pengguna bahasa SMS menganggap faktor masa menyebabkan mereka meringkaskan perkataaan yang ada supaya proses menaip akan siap dengan lebih cepat.

Selain itu, penggunaan bahasa SMS ini dapat menjimatkan ruang. Telefon bimbit menyediakan ruang untuk SMS hanya berkapasiti maksimum 160 patah perkataan yang dapat dikirimkan pada satu-satu masa yang menyebabkan kesulitan kepada pengguna yang menghantar mesej melebihi 160 patah perkataan.

Tanggapan pengguna terhadap bahasa SMS seterusnya ialah pengguna mengandaikan penerima faham dengan SMS yang dihantar. Namun bagi sesetengah pihak, bahasa SMS ini terlalu sukar untuk difahami kerana menggunakan ayat yang begitu ringkas.

Kesan Penggunaan Bahasa SMS

JANGKA PENDEK

Antara kesan jangka pendek penggunaan bahasa SMS ialah memberi kesan negatif terhadap penulisan akademik terutama kepada pelajar sekolah dan juga penuntut IPT. Keasyikan menggunakan bahasa SMS boleh menyebabkan mereka terbawa-bawa sikap tersebut ke dalam dewan peperikasaan dan ini merupakan kesalahan yang serius dalam sistem peperiksaan.

Selain itu, penggunaan bahasa SMS yang keterlaluan juga boleh menyebabkan pelajar menjadi malas untuk mengarang esei yang panjang. Bagi golongan pendidik pula, penggunaan bahasa SMS dalam kalangan pelajar sangat menyusahkan mereka. Kebanyakan pelajar menggunakan bahasa SMS dalam penulisan mereka sama ada dalam menulis nota mahupun dalam peperikasaan dan ini akan menyulitkan mereka untuk membacanya. Tambahan pula, penggunaan bahasa SMS yang terlalu ekstrem boleh merosakkan kemurnian bahasa tersebut kerana ayat yang terlalu ringkas boleh disalahtafsir maksudnya.

JANGKA PANJANG

Apabila penggunaan bahasa SMS secara meluas digunakan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sudah pasti akan tergugat. Keindahan yang terdapat dalam bahasa Melayu akan terhakis kerana berlaku campur aduk istilah sehingga menganggu kestrukturannya.

Selain itu juga, penggunaan bahasa SMS yang keterlaluan boleh menyebabkan generasi baru tidak lagi berminat untuk mempertahankan bahasa sebenar mereka. Ini kerana bahasa SMS lebih sebati dalam kehidupan mereka. Bahasa SMS yang menggunakan struktur bahasa yang buruk, ringkas dan mempunyai kesalahan ejaan boleh menyebabkan bahasa Melayu hilang kemurniannya. Sekiranya bahasa SMS dibiarkan secara berterusan penggunaannya, maka kualiti penulisan dan kecekapan mengeja pasti akan berkurangan terutamanya membabitkan pelajar sekolah rendah.

Langkah-langkah untuk Mengatasi Bahasa SMS



Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa SMS. Pemimpin masyarakat perlu memberi contoh yang baik kepada rakyat. Mereka hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya dan tidak menggunakan bahasa singkatan dalam sesuatu majlis. Rakyat akan mencontohi pemimpin dan lama-kelamaan masyarakat akan menggunakan bahasa yang betul.

Selain itu, untuk mengelakkan bahasa SMS terus-terusan digunakan oleh pengguna, sikap pengguna yang menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard perlu dihapuskan. Masyarakat perlulah menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa singkatan dalam SMS. Sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.

Peranan media massa juga penting untuk mengatasi bahasa SMS dan bahasa singkatan yang digunakan secara berleluasa. Program-program televisyen yang menggunakan bahasa SMS atau bahasa singkatan akan dijadikan sebagai ikutan oleh golongan remaja. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu mengawal penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh media massa.

Bentuk Bahasa yang Sepatutnya Digunakan dalam SMS



Penggunaan bahasa yang baik dan betul adalah salah satu syarat yang seharusnya dipenuhi dalam menaip SMS. Bahasa yang baik adalah bahasa yang efektif dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Oleh itu, sehubungan dengan fenomena bahasa SMS yang menggunakan singkatan dan gabungan kata yang semakin merisaukan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil beberapa inisiatif, antaranya ialah dengan menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu. Antara contoh bahasa singkatan yang dibenarkan dalam penggunaan SMS ialah:

-Untuk singkatan nama khas, hanya mengambil huruf pertama daripada setiap kata yang membentuk frasa nama khas. Sebagai contoh,
• Kuala Lumpur-KL
• Ringgit Malaysia-RM
• Tenaga Nasional Berhad-TNB.
-Untuk singkatan umum, hanya mengambil huruf pertama daripada setiap suku kata dan juga huruf akhir kata. Contohnya,
• dalam-dlm
• jalan-jln
• kawan-kwn
• dapat-dpt