Wednesday, September 1, 2010

Kesan Penggunaan Bahasa SMS

JANGKA PENDEK

Antara kesan jangka pendek penggunaan bahasa SMS ialah memberi kesan negatif terhadap penulisan akademik terutama kepada pelajar sekolah dan juga penuntut IPT. Keasyikan menggunakan bahasa SMS boleh menyebabkan mereka terbawa-bawa sikap tersebut ke dalam dewan peperikasaan dan ini merupakan kesalahan yang serius dalam sistem peperiksaan.

Selain itu, penggunaan bahasa SMS yang keterlaluan juga boleh menyebabkan pelajar menjadi malas untuk mengarang esei yang panjang. Bagi golongan pendidik pula, penggunaan bahasa SMS dalam kalangan pelajar sangat menyusahkan mereka. Kebanyakan pelajar menggunakan bahasa SMS dalam penulisan mereka sama ada dalam menulis nota mahupun dalam peperikasaan dan ini akan menyulitkan mereka untuk membacanya. Tambahan pula, penggunaan bahasa SMS yang terlalu ekstrem boleh merosakkan kemurnian bahasa tersebut kerana ayat yang terlalu ringkas boleh disalahtafsir maksudnya.

JANGKA PANJANG

Apabila penggunaan bahasa SMS secara meluas digunakan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sudah pasti akan tergugat. Keindahan yang terdapat dalam bahasa Melayu akan terhakis kerana berlaku campur aduk istilah sehingga menganggu kestrukturannya.

Selain itu juga, penggunaan bahasa SMS yang keterlaluan boleh menyebabkan generasi baru tidak lagi berminat untuk mempertahankan bahasa sebenar mereka. Ini kerana bahasa SMS lebih sebati dalam kehidupan mereka. Bahasa SMS yang menggunakan struktur bahasa yang buruk, ringkas dan mempunyai kesalahan ejaan boleh menyebabkan bahasa Melayu hilang kemurniannya. Sekiranya bahasa SMS dibiarkan secara berterusan penggunaannya, maka kualiti penulisan dan kecekapan mengeja pasti akan berkurangan terutamanya membabitkan pelajar sekolah rendah.

No comments:

Post a Comment