Wednesday, September 1, 2010

Langkah-langkah untuk Mengatasi Bahasa SMS



Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa SMS. Pemimpin masyarakat perlu memberi contoh yang baik kepada rakyat. Mereka hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya dan tidak menggunakan bahasa singkatan dalam sesuatu majlis. Rakyat akan mencontohi pemimpin dan lama-kelamaan masyarakat akan menggunakan bahasa yang betul.

Selain itu, untuk mengelakkan bahasa SMS terus-terusan digunakan oleh pengguna, sikap pengguna yang menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard perlu dihapuskan. Masyarakat perlulah menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa singkatan dalam SMS. Sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.

Peranan media massa juga penting untuk mengatasi bahasa SMS dan bahasa singkatan yang digunakan secara berleluasa. Program-program televisyen yang menggunakan bahasa SMS atau bahasa singkatan akan dijadikan sebagai ikutan oleh golongan remaja. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu mengawal penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh media massa.

No comments:

Post a Comment